Laman Utama

PENGENALAN

Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (Peninsular Malaysia Orang Asli Graduates Association) merupakan sebuah pertubuhan bekas pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (Awam & Swasta) dari kalangan Orang Asli Semenanjung Malaysia.


Pada 28 November 1998 bertempat di Mini Theatre, Muzium Orang Asli Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia, Gombak, Selangor; satu perjumpaan khas telah diadakan bagi membentuk sebuah pertubuhan lepasan institusi pengajian tinggi dikalangan Orang Asli. Berikutan itu sebuah protem committee diwujudkan bagi mengurus hal-hal pendaftaran serta merangka undang-undang pertubuhan tersebut. Pendaftar Pertubuhan telah meluluskan pendaftaran Kelab Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia dan membolehkannya bergerak sebagai sebuah pertubuhan yang sah disisi undang-undang pada 06 OKTOBER 1999.

Mesyuarat Agung Ke IV (20 JUN 2009) yang telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Semenanjung Malaysia (JHEOA), dimana ahli-ahli pertubuhan memutuskan agar perkataan 'kelab' sebelum itu diubah kepada 'persatuan' iaitu Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia [PSOA] atau dalam bahasa Inggeris “Peninsular Malaysia Orang Asli Graduates Association” dan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan. Pindaan tersebut dibuat adalah bertujuan pengembangan agar persatuan ini lebih sinonim dengan citarasa generasi muda, lebih mantap dan bersinergi.

Permohonan menjadi ahli persatuan daripada golongan terpelajar Orang Asli begitu mengalakkan. Berdasarkan daftar rekod induk keahlian persatuan pada 09 September 2009, mendapati lebih dari 80% dari jumlah keseluruhan golongan lepasan institusi pengajian tinggi (awam dan swasta) masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia telah menjadi ahli persatuan ini.


OBJEKTIF

Diantaranya ;

a) berusaha ke arah meningkatkan kesedaran pendidikan dikalangan pelajar dan masyarakat Orang Asli ;

b) memperkaya dan membudayakan ilmu pengetahuan dalam kehidupan seharian masyarakat Orang Asli ;

c) mengeratkan tali persaudaraan serta memupuk semangat kekeluargaan dikalangan ahli- ahli persatuan dan masyarakat Orang Asli ;

d) bagi melahir, mengetengah dan mengasuh bakat kepimpinan di kalangan generasi muda dalam usaha meramaikan golongan pemimpin pelapis ;

e) menjalankan aktiviti berbentuk perniagaan atau ekonomi secara sah disisi undang-undang atas nama persatuan, dan

f) mengumpul hasil sumbangan atau derma yang diterima secara sah disisi undang-undang bagi tujuan memantapkan dana persatuan.


MATLAMAT

Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) adalah suatu tempat atau titik pertemuan golongan terpelajar masyarakat Orang Asli Semenanjung Malaysia.

Disamping memupuk semangat persaudaraan dan memelihara kebajikan ahli-ahli persatuan, Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) mempunyai tanggungjawab sosial khusus iaitu memberi kesedaran serta bantuan khidmat nasihat pendidikan kepada Orang Asli.

Bersesuaian dengan gagasan '1 Malaysia' yang mana 'rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' maka Persatuan Siswazah Orang Asli Semenanjung Malaysia (PSOA) secara tidak langsung bertindak sebagai badan pengantaraan Orang Asli. Bertanggungjawab dalam memberi pandangan serta pendapat, syor atau cadangan yang relevan ke arah kemajuan masyarakat Orang Asli.

Sedia mendengar segala rintihan masyarakat dan menyuarakan isu-isu semasa atau kehendak rakyat. Berusaha untuk membantu masyarakat dengan mengadakan bengkel, kolokium, seminar, konvensyen, dan lain-lain cara yang bersesuaian, jika perlu.